Prasejarah Myanmar


Zaman prasejarah Myanmar boleh dikesan sehingga ratusan milenia sehingga ke abad 200 SM. Bukti-bukti arkeologi menunjukkan bahawa manusia Homo Erectus pernah wujud di rantau yang kini disebut sebagai Burma seawal 750,000 tahun lampau. Kemudian, manusia Homo Sapiens pula dikesan wujud di situ kira-kira 11,000 SM, dalam kebudayaan Zaman Batu yang disebut sebagai Anyathian.

Nama Anyathian berasal dari tapak-tapak pertengahan yang kering di mana kebanyakan penempatan manusia Homo Sapiens itu berkediaman. Zaman Anyathian ini adalah zaman apabila tumbuhan dan binatang mula dibela secara tetap oleh manusia jenis tersebut serta peralatan batu halus ditemui. Walaupun kawasan tersebut terletak di tanah yang subur, namun bukti arkeologi menunjukkan bahawa manusia-manusia tersebut masih belum lagi biasa dengan kaedah-kaedah pertanian.  

Zaman Gangsa muncul sekitar 1500 SM, apabila penduduk di rantau tersebut mula beralih dari tembaga ke gangsa, menanam padi, dan membela babi serta ayam. Mereka merupakan antara penduduk dunia terawal di dunia yang berbuat demikian. Zaman Besi muncul sekitar 500 SM, apabila penempatan pertukangan besi muncul di sekitar rantau selatan di Mandalay pada zaman moden ini. Bukti-bukti menunjukkan bahawa penempatan pertanian padi dengan penduduk kampung yang ramai serta kota-kota kecil yang berdagang dengan persekitarannya sehingga sejauh China muncul sekitar 500 SM dan 200 M. Keranda-keranda gangsa berhiasan dan tapak-tapak pengebumian dipenuhi dengan bekas-bekas tanah liat tinggalan pesta-pesta dan minuman menunjukkan bahawa masyarakat di situ mewah sekali gaya kehidupan mereka ketika itu. 

Bukti perdagangan memberi gambaran mengenai penghijrahan yang berterusan dalam zaman prasejarah walaupun bukti terawal sekali penghijrahan terbesar berlaku pada sekitar 200 SM apabila suku kaum Pyu, iaitu penduduk terawal dalam empayar Burma yang mempunyai rekod terbesar dalam sejarah, mula berpindah ke lembah Irrawaddy sebelah hulu dari Yunnan di zaman moden ini. Suku kaum Pyu menubuhkan penempatan di sekitar rantau lembangan yang berpusat di pertembungan Sungai Irrawaddy dan Sungai Chindwin yang sudah pun dihuni sejak zaman Paleolitik. Suku kaum Pyu kemudian diikuti oleh kumpulan suku kaum lain lagi seperti Mon, Arakan dan Mranma (Burma) pada awal milenia. Menjelang zaman Pagan, batu-batu bersurat menunjukkan bahawa suku kaum seperti Thet, Sgaw, Kadu, Kanyah, Palaung, Wa dan Shan (Tai-Yai) turut mendiami rantau-rantau sekitar Lembah Irrawaddy dan sekitarnya. 

Prasejarah

Manusia Homo Erectus mula berpenempatan di Burma pada 750,000 sebelum ketibaan manusia Homo Sapiens dari Afrika. Setakat ini, belum ada lagi bukti arkeologi yang menunjukkan kewujudan manusia Homo Sapiens di situ sebelum milenia ke-11. Zaman pra-penghijrahan di Burma boleh dikesan dari 11,000 SM sehingga 4,000 SM sebelum penghijarahan besar-besaran terjadi. Era ini dicirikan oleh kebudayaan Zaman Baru, yang kemudian berkembang menjadi kebudayaan Zaman Gangsa dan Zaman Besi. Sistem ritual gua, yang kemudian turut terpakai dalam gua-gua yang didiami oleh penganut ajaran Buddha, dipercayai berakar-umbi dari ketamadunan terawal zaman ini. Kesannya masih kelihatan hari ini dalam gua-gua agama Buddha di seluruh Burma. 

Tapak Gambar: Thamiwet Umin, Nyaung-O, Pagan
Laman Sumber Gambar: Seasite